Monday, October 5, 2009

ucapan pm....

TEKS UCAPAN Y.A.B. PERDANA MENTERI SEMASA MAJLIS
PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KESEPULUH (MAPPA) PADA 28
APRIL 2009
TEMA : SATU MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN
DIUTAMAKAN
Bismillahirahmanirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Y.B. Menteri-Menteri, Timbalan-timbalan Menteri,
Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan,
Ketua Setiausaha Negara,
Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Y.Bhg. Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Bin Wan Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri,Dato’-Dato’, Datin- Datin, Difdif
Kehormat,
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
1. Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur setingginya ke hadrat
Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua satu proses peralihan
kuasa yang tertib, licin dan sempurna telah berlangsung pada 3hb April
yang lalu. Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada
YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi yang telah memungkinkan
peralihan tersebut berjalan dengan begitu baik. Justeru, saya berasa amat
sukacita kerana inilah julung kali saya bertemu dengan tuan-tuan dan
puan-puan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA)
kali ke sepuluh atas kapasiti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.
2. Saya majukan ucapan terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohd. Sidek
Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara dan juga kepada Y.Bhg. Tan Sri
Ismail Adam selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan juga kepada
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) atas perencanaan dan pengaturan
majlis ini bagi saya menyampaikan gagasan, hasrat dan harapan secara
langsung kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
3. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari seluruh pelosok negara
menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan-puan
kepada perkhidmatan awam yang telah lebih lima dekad menjadi tunjang
dan nadi kepada pembangunan negara. Sungguhpun inilah kali pertama
saya bercakap sebagai ketua kerajaan, hakikatnya saya telah lama kenal
sebilangan besar tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan
kepimpinan dan politik, lebih 33 tahun.
4. Mengimbau sejarah, kira-kira empat puluh tahun yang lalu, Allahyarham
ayahanda saya telah diamanahkan sebagai Pengarah MAGERAN. Pada
saat dan ketika itu, perpaduan kaum ibarat retak seribu dan rakyat
Malaysia sudah hampir hilang harapan. Selaku Pengarah MAGERAN,
ayahanda saya telah berjaya memulihkan demokrasi serta harapan rakyat
Malaysia dengan dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang amat
berintegriti, berkebolehan, berwibawa dan berdedikasi. Pendek kata, ramai
daripada pendahulu-pendahulu tuan-tuan dan puan-puan adalah mereka
yang berada di barisan hadapan dan sangat instrumental dalam usaha
memulihkan negara pasca episod hitam 13 Mei 1969.
5. Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah
perubahan; Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk
perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui
perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan
lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan
gejala jumud dan beku membudaya. Oleh itu setiap generasi penjawat
awam perlu membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan
mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini
barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai
pemelihara kepentingan awam.
6. Satu ketika dahulu penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang
amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di
peringkat rantau dan antarabangsa. Bukan maksud saya untuk
mengatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia hari ini tidak
secemerlang dahulu kerana telah terbukti bahawa perkhidmatan awam
Malaysia telah memainkan peranan yang pro-aktif di dalam proses
transformasi negara dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara
perindustrian. Namun kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah
akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio
ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang ingin saya lakukan
adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam
yang telah dimulakan sejak lama dahulu.
PENJAWAT AWAM : DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN
EKONOMI
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Hakikatnya, hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran monumental.
Pertamanya cabaran jangka pendek dan keduanya cabaran jangka
panjang. Di bawah cabaran jangka pendek ini terdapat tiga cabaran
berkaitan. Cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara
akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan
kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku. Cabaran jangka
pendek kedua ialah untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang
ada, dengan kadar paling pantas. Cabaran jangka pendek ketiga ialah
untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang
dialami.
8. Manakala cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan
pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia
berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan
innovasi. Di bawah model baru ekonomi ini kerajaan akan membangunkan
sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan
pembentukan kekayaan baru pada masa yang sama menggalakkan sektor
pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
9. Langkah-langkah ini diharapkan agar dapat menyelesaikan secara
tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu “of
being neither here nor there” yakni, sementara kita bukan lagi boleh
dianggap sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah, kita juga belum
berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai
sektor yang sama.
10. Model baru ekonomi ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin
kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara “upper
middle income” kepada negara “high income” dan dalam masa terdekat
meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan
Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.
11. Saya yakin dan percaya bahawa sektor perkhidmatan awam akan terus
mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran ini kerana
sejarah telah membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya
membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara
pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga
Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.
SATU MALAYSIA
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah
mengutarakan konsep Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian
diutamakan. Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah
kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum
Tunku Abdul Rahman. Selama ini pun, Malaysia berjaya kerana kita
menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan
walaupun kita telah menyaksikan banyak negara didunia telah hancur dek
faktor kemajmukan. Malah kita juga telah merasai sedikit sebanyak
bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir
meranapkan negara seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13
Mei.
13. Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui
kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah
merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada
dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi
kejayaan. Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah dimaktub
dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu
Perlembagaan Persekutuan dan prinsip prinsip Rukun Negara.
14. Di bawah Konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang
berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan kita bantu.
Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan. Sesungguhnya
lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah
warganegara kelas dua di negara tercinta ini, kerana setiap anak Malaysia
adalah potensi modal insan yang penting kepada negara, setiap mereka
perlu dimanfaatkan sebaiknya.
15. Ketahuilah, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab
masing-masing sepertimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan
Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi
juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub
terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai
warganegara.
16. Di bawah Konsep Satu Malaysia kita perlu memastikan tiada rakyat
Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bagi
kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta.
Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya
yang hak. Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak
kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik manapun, tetapi ternyata
mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan
berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai
peluang pendidikan yang terbaik.
17. Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan
datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak
berkemampuan memastikan ‘outcome’ yang sama. Dalam kata lain,
kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibubapa, keluarga atau
masyarakat setempat, kerajaan juga bukanlah galang yang boleh
mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau
peniaga juga usahawan untuk berjaya. Apa yang kerajaan boleh buat
seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang
adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu
Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of
belonging) dalam satu keluarga besar.
PENJAWAT AWAM : DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN
PENTADBIRAN MODENISASI SEKTOR AWAM
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam
perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur
pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif
untuk semua rakyat Malaysia mengoptimakan potensi mereka. Di sini
peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif,
luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira
kerana dalam melaksanakan inisiatif modernisasi ini saya telah mendapat
sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi
perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Sesungguhnya pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat
‘top down’ tetapi sebaliknya melibatkan gabungjalin semua segmen
perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.
19. Usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan
bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Kita
memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian
kejayaan pada alaf baru ini. Apa yang saya maksudkan dengan anjakan
paradigma adalah pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada
keanjalan. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa
kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor
swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta,
kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai korporat.
Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk
membayar gaji kakitangan awam.
20. Keanjalan ini penting bagi menghadapi cabaran untuk berjaya di dalam
ekonomi baru yang ditandai oleh proses globalisasi. Kita harus mengubah
kerangka minda, strategi dan kaedah bekerja jika kita ingin memanfaatkan
fenomena yang ada. Sesungguhnya “extraordinary times requires
extraordinary measures”. Sektor awam perlu menjadi pemudah cara
kepada penciptaan kekayaan tanpa mengenepikan peranan mereka
sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak
boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika
mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisa akhirnya adalah
rakyat.
21. Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya output dan
perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek
outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam
harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan
‘output’ kepada kejayaan yang berasaskan ‘outcome’. Misalnya dalam
bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang
mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus
diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral
pelajar. Begitu juga dalam hal menangani gejala penagihan najis dadah,
perhitungan kita bukan hanya berapa kepada berapa banyak pusat serenti
yang mampu dibina, akan tetapi berapa ramai penagih yang berjaya kita
pulihkan. Contoh lain pula ialah penekanan kita bukan pada bilangan
mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negeri tetapi
kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang
telah dibuat.
22. Anjakan paradigma ketiga adalah anjakan daripada birokrasi yang
menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan
rakyat. Kita memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah
membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun
yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam
berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global. Jika diteliti
perbelanjaan emolumen untuk pembiayaan sektor awam ianya terus
meningkat saban tahun. Hakikatnya kerajaan membelanjakan satu
perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen
sektor awam. Pada tahun 2007 kerajaan telah mengumumkan kenaikan
gaji asas kakitangan awam dari 7.5 peratus sehingga 35 peratus. Dari segi
peruntukan, kerajaan telah pun membelanjakan jumlah yang besar untuk
membiayai emolumen sektor awam pada tahun 2006 dengan sejumlah RM
28 billion untuk tujuan ini. Angka ini telah meningkat kepada RM 32 billion
pada tahun 2007 dan kepada RM 41 billion pada tahun 2008.
Persoalannya, dibenak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan ini
berbaloi. “Are the rakyat getting value for their tax dollars?”.
23. Lantas, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita
memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa
tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. “We do not
need mere seat warmers, we need actual doers”. Di sudut yang lain pula,
kenapa kita harus secara operasionalnya terus-terusan mengamal tatacara
kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat
dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat. Perkara ini boleh
dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil. Suatu
masa dahulu untuk membuat atau memperbaharui pasport antarabangsa
baru mengambil jangka masa yang panjang namun kini ianya boleh
disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.
24. Dalam konteks ini juga, salah satu perkara yang sentiasa menjadi
rungutan orang ramai ialah khidmat kaunter yang lambat. Rakyat mengeluh
kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan
waktu jumlah kaunter yang dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah
yang optima yang dapat menangani jumlah pelanggan. Begitu juga jika
rakyat menelefon jabatan-jabatan kerajaan pegawai atau kakitangan tidak
menjawab atau jikapun mereka menjawab mereka mengatakan tidak tahu.
Walaupun bukan semua yang terbabit akan tetapi hal ini telah
menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam
sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara. Justeru kenapa
masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah
kepada birokrasi yang bersifat memudah cara. Saya lihat, salah satu
langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah efilingnya
yang merupakan pendekatan yang memudahkan penuh kreativiti
dan innovasi.
25. Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti sematamata
kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan innovasi. Kalau selama
ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu
ditambah baik melalui kreativiti dan innovasi. Ukuran produktiviti secara
konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok
(incremental), manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan
inovasi, ia akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan
berganda (quantum leap).
26. Jelasnya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan innovasi
mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam
Malaysia. Tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan
menubuhkan jabatan/agensi baru atau menambah kakitangan adalah
pandangan yang tidak tepat. Dengan kemajuan teknologi maklumat
produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimakan. Kita perlu
mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau
mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era
kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.
27. Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi
kreativiti dan inovasi ini. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan
kepuasan hati klien sektor awam yang utama iaitu rakyat. Idea-idea baru
tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan
hanya semata-mata ianya tidak konvensional. Untuk menjadikan
perkhidmatan awam Malaysia sebagai tanda aras kecemerlangan
peringkat global maka budaya pemikiran diluar kotak kebiasaan perlu
menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikkan. Barulah nanti wujud
persekitaran kerja yang dinamik lagi bertenaga dan berdaya saing.
Tuan-tuan dan puan-puan,
28. Dari segi pembaharuan struktural, pertamanya saya ingin
mencadangkan kaedah ‘sistem kemasukan pelbagai peringkat’ ke dalam
perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan akan dapat
memanfaatkan proses ‘cross fertilization’ di antara bakat-bakat sektor
awam dan sektor swasta. Sudah tiba masanya kini jawatan-jawatan utama
sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari
perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Kita tidak boleh
lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik
dan tersaring demi kepentingan rakyat.
29. Keduanya saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana
pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan pula ke
perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman. Dengan cara ini
pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor
swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.
30. Oleh itu ketiganya bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan
awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat
yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank
Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta
telah menjadikan mereka organisasi yang hebat. Kita akan menghantar
yang terbaik dikalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa
institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di
Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti
Pennsylvania.
Tuan-tuan dan puan-puan,
PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
31. Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan
perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang
terbaik. Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor
awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam.
Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat
dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi. Kita sedar buat masa ini kita
tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta
kepada saudara saudari tetapi apa yang kita boleh tawarkan adalah rasa
kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara. Walau apapun, kita sedang
berusaha untuk menyemak dan menambahbaik skim-skim perkhidmatan
yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai.
32. Di atas segalanya, saya amat maklum bahawa mengurus sebuah
negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua
pihak. Paling utama harus ada kesefahaman diantara anggota pentadbiran
sebagai pengubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera
pelaksana dasar. Ini kerana, sebaik manapun dasar yang telah digubal
tanpa mekanisma pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak
akan mampu direalisasikan.
33. Lantaran itu, baru-baru ini, semasa mengumumkan anggota kabinet,
saya telah menggariskan jangkaan terhadap pencapaian mereka. Saya
telah mengamanahkan mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah
bagi kepentingan rakyat. Sehubungan itu saya turut mengumumkan satu
sistem petunjuk utama prestasi (KPI) yang akan dirangka bagi mengukur
pencapaian mereka.
34. Namun, semboyan berkhidmat ini tidak terhenti setakat para anggota
kabinet, anggota perkhidmatan awam adalah merupakan rakan kongsi
utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita
kepada rakyat Malaysia dalam memberikan khidmat yang terbaik. Justeru,
saya berdiri di sini pada hari ini, bagi mengulangi seruan kepada tuan-tuan
dan puan-puan agar menumpah khidmat kepada rakyat dengan
sepenuhnya.
35. Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan sistem pengurusan yang
berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan
penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk kita menempa
kejayaan pembaharuan yang besar. Perubahan tidak datang hanya
dengan pengumuman atau berucap mengenainya. Ia terhasil daripada
dedikasi dan kerja keras sepasukan manusia yang diikat oleh apa yang
disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai wa’ad dan bai’ah yakni satu
tautan persetiaan dan perkongsian komitmen yang padu antara penjawat
awam dan pentadbiran.
Tuan-tuan dan puan-puan,
36. Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada
pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa
yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan
pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan. Sebab itulah
saya telah merangka KPI kerana piawai kepada pencapaian itu perlu ada.
Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik
merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif. KPI ini bukan alat atau
kaedah untuk menghukum atau mendera kakitangan awam tetapi sebagai
kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian. Ingatlah bahawa
setiap sen dan ringgit yang kita terima akan dipertanggungjawabkan bukan
sahaja didunia ini tetapi juga di akhirat.
37. Sesungguhnya, modenisasi sektor awam adalah suatu usaha murni
yang besar dan berterusan. Saya tidak mahu mengambil sikap hangathangat
tahi ayam didalam usaha pembaharuan ini. Saya mahu
mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya
katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan
dengan tindakan susulan. Selepas ini kita tidak mahu sekadar
memanterakan slogan yang muluk- muluk tetapi kosong. Apa yang
mustahak, kerja mesti dijalankan.
38. Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi, tidak perlu
bimbang. Janganlah menganggap diri tuan-tuan dan puan-puan sebagai
wira yang tidak didendang. Kepada mereka yang pencapaiannya kurang
memuaskan pula, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi
diri. Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah
konsep rakyat didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien
yang terutama.
39. Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan
rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d’etre kepada kewujudan
perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat.
Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor
awam. Dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung
sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda
dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada
kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir
riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku,
umatku’. Jadinya, saya berasakan bahawa kita perlu mengambil
pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan
penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam
tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu. Moga, dapatlah kita
beriktibar daripadanya dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam
khidmat masing-masing.
40. Bertolak dari situ, pada hemat saya jua, jika kita benar benar ingin
berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu
fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat,
barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi
mengatasi masalah tersebut. Sebab itulah saya sangat menekankan
empati dalam pentadbiran saya agar penyelesaian yang kita capai bagi
setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang
sebenarnya.
41. Yang paling mustahak, saya inginkan pentadbiran saya menjadi
pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat. Pentadbiran yang
berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan
seharian rakyat. Justeru, sebaik saya memulakan tugas sebagai Perdana
Menteri saya telah mulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin
di kawasan-kawasan tertentu, bukan sahaja bagi membolehkan saya
mendekati rakyat, tetapi lebih penting, supaya saya dapat merasai
kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan
segala bau dan hiruk pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh
orang-ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
42. Contohnya juga, bagaimana kita hendak menggubal dasar
pengangkutan awam jika kita tidak sendiri turun ke bawah menaiki LRT
dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini. Di
noktah ini, saya sayugia teringat kepada pendekatan Allahyarham
ayahanda saya yang turun merapati rakyat ke kampung-kampung, sawah
bendang, tanah-tanah rancangan, menaiki basikal dan berperahu. Memang
jelas, pengalaman yang diperolehi itu amat berharga, dan penilaian yang
dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporanlaporan
dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang
terpisah jauh dari realiti kehidupan. Sebab itulah saya mahukan pegawaipegawai
tinggi kerajaan juga turun padang dari masa ke semasa untuk
memahami masalah pelanggan masing-masing. "We must understand our
stakeholders in order to be able to deliver what they require". Nescaya,
insya Allah, rakyat akan menerima kita sepenuhnya.
43. Akhir kata demi rakyat, tunjangkan dan tampilkanlah penjawatpenjawat
awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi.
Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Sekian terima kasih.
selamat datang ke laman web kami...
terbaik dari ladang pisang.com